KEMULIAAN MALAM LAILATUL QADAR

Petikan Dari Munajat Nabi Musa a.s. kepada Allah s.w.t.

 

Munajat Nabi Musa a.s., "Ya Allah ya Tuhanku! Aku ingin menjadi seorang hamba yang paling hampir sekali denganMu."  Firman Allah s.w.t., "Wahai Musa! Sesungguhnya Aku telah hampir dengan hamba-hambaku yang bangun pada malam Lailatul Qadar."

 

Munajat Nabi Musa a.s., "Ya Allah Ya Tuhanku! Aku amat mengharapkan sekali akan RahmatMu itu."  Firman Allah s.w.t., "Wahai Musa! Sesungguhnya RahmatKu itu adalah bagi mereka yang berkasih sayang dan menaruh perasaan belas kasihan terhadap orang-orang miskin pada malam Lailatul Qadar."

 

Munajat Nabi Musa a.s., "Ya Allah Ya Tuhanku! Aku ingin sekali untuk melintasi pada titian Siratul Mustaqim dihari kiamat kelak dengan pantas seperti kilat menyambar." Firman Allah s.w.t., "Wahai Musa! Sesungguhnya yang demikian itu engkau akan perolehi dengan memberi dan membanyakkan sedekah pada malam Lailatul Qadar,".

 

Munajat Nabi Musa a.s. "Ya Allah Ya Tuhanku! Aku teringin sekali untuk berteduh dibawah pohon-pohon syurgaMu sambil dapat pula memakan buah-buahnya," Firman Allah s.w.t., "Wahai Musa! Sesungguhnya kamu akan memperolehi niatmu itu tetapi banyakkanlah olehmu akan bertasbih serta bersungguh-sungguhlah kamu dalam mengerjakannya pada malam Lailatul Qadar."

 

Munajat Nabi Musa a.s., "Ya Allah Ya Tuhanku! Selamatkanlah aku dari azab siksaan neraka jahanamMu."  Firman Allah s.w.t., "Wahai Musa! Bermohonlah kamu kepadaKu dengan membanyakkan meminta keampunan dan beristighfar hingga ke waktu subuh hari pada malam Lailatul Qadar."

 

Munajat Nabi Musa a.s., "Ya Allah Ya Tuhanku! Anugerahkanlah keredanMu itu terhadap diriku ini."  Firman Allah s.w.t., "Wahai Musa! Sesungguhnya keredaanKu itu adalah bagi orang-orang ynag mengerjakan solat sunat 2 rakaat pada malam Lailatul Qadar."

 

Bilakah Malam Lailatul Qadar?

 

Iman Al Ghazali Rahimahullah berpendapat malam berlakunya Lailatul Qadar itu boleh dikenali dengan cara yang berikut seperti:-

  1. Jika awal Ramadhan jatuh pada Ahad atau hari rabu maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 29hb Ramadhan.

  2. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Isnin maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 21hb Ramadhan.

  3. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Selasa atau Jumaat maka Lailatul Qadar jatuh pada malm 27hb Ramadhan.

  4. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Khamis mak Lailatul Qadar jatuh pada malam 25hb Ramadhan.

  5. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Sabtu maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 23hb Ramadhan.