PERISTIWA GANJIL DALAM ISRAK RASULULLAH S.A.W.
"Maha suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhamad s.a.w.) pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya, agar Kami dapat perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Al Israk:1)
'Israk' ertinya berjalan di waktu malam manakala 'Mikraj' pula bererti naik ke atas (ke langit). Yang dimaksudkan dengan 'Israk dan Mikraj' disini ialah perjalanan Rasulullah s.a.w. di waktu malam dari Masjidil Haram di Mekah hinggalah ke Masjidil Aqsa di Palestin. Baginda kemudiannya terus naik ke langit dari selapis ke selapis hinggalah sampai di 'Sidratul Muntaha'. Setelah menerima fardu solat baginda kemudiannya kembali semula ke Mekah dalam masa hanya satu malam sahaja.
Antara peristiwa ganjil yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w. adalah seperti berikut:-
Bertemu dengan jin Ifrit.
Menyaksikan dengan sekelompok manusia yang bercucuk tanam dan mengetam pada hari itu juga. Inilah adalah contoh bagi orang-orang yang melakukan amal soleh.
Semasa melintasi kubur Masyitah, Rasulullah dapat mencium bau haruman yang sungguh harum.
Menyaksikan sekelompok manusia yang memakai cawat, memakan buah berduri dan ada pula yang menelan bara api. Ini adalah contoh bagi mereka yang tidak mahu mengeluarkan zakat.
Menyaksikan sekelompok manusia yang memakan daging mentah lagi busuk sedangkan daging masak dan bagus ada di sisinya. Ini adalah contoh bagi orang yang mempunyai isteri yang sah tetapi sebaliknya ia suka berzina dengan perempuan pelacur.
Menyaksikan sekelompok manusia yang berenang di dalam sungai yang penuh dengan darah sedangkan orang-orang yang duduk ditebing sungai itu melemparkan batu kearahnya. Ini adalah contoh bagi mereka-mereka yang suka memakan riba dan duit haram.
Menyaksikan sekelompok manusia yang memikul kayu, walaupun beban kayu yang tanggung olehnya telah berat namun ia masih lagi menambah beban kayu itu ke atas bahunya. Ini adalah contoh bagi mereka yang suka mengambil amanat tetapi tidak pernah menunaikannya.
Menyaksikan sekelompok manusia yang menggunting lidahnya sendiri. Ini adalah contoh orang yang pandai bercakap tetapi ia sendiri tidak pernah melakukannya.
Menyaksikan sekelompok manisia yang berkuku tembaga lalu merobek-robek muka dan dadanya sendiri. Ini adalah contoh bagi orang yang suka mengumpat, membuat fitnah dan menjatuhkan aib orang lain.
Menyaksikan sekelompok manusia yang mempunyai bibir seperti bibir unta lalu disuapkan bara api kedalam mulutnya. Ini adalah contoh bagi mereka yang memakan harta anak yatim dengan jalan yang salah.
Menyaksikan seekor lembu besar keluar dari lubang yang sangat sempit lalu ia berusaha untuk memasukinya kembali tetapi tidak berjaya. Ini adalah contoh bagi mereka yang suka bercakap besar dan dusta lalu ia ingin menarik kembali percakapannya itu tetapi tidak berpeluang lagi.
Bertemu dengan pohon-pohon kayu yang berduri di tengah jalan, sesiapa yang melaluinya pasti akan ditarik dan dikaitnya sehingga pakaian akan menjadi koyak rabak. Ini adalah contoh bagi mereka yang suka membuat kekacauan dan gangguan orang yang lalu lalang di jalan.
Menyaksikan sekelompok wanita yang digantung dengan buah dadanya sambil mereka menjerit-jerit meminta pertolongan. Ini adalah contoh wanita yang menyusukan anak mereka hasil dari perzinaannya dengan lelaki yang bukan suaminya.
Menyaksikan perempuan-perempuan yang digantung dengan rambutnya di atas api neraka sehingga mendidih otak dikepalanya. Ini adalah balasan kerana mereka tidak mahu menutupi aurat di kepala dari pandanganlelaki yang bukan mahramnya.
Menyaksikan perempuan yang digantung dengan lidahnya diatas api neraka lalu dituangkan air panas ke dalam mulutnya. Ini adalah balasan kerana mereka selalu menyakiti hati suaminya dan bercakap dengan suara yang kasar serta tinggi.