HATINYA SENTIASA MERINDUI RASULLAH
Ada seorang hamba sahaya yang bernama Tsauban dan dia terlalu amat menyayangi dan mencintai Rasulullah. Setiap waktu yang berlalu jika boleh ia mahu bersama Rasulullah, jika tidak bersama Rasulullah dia akan merasa sedih, murung dan adakalanya dia akan menangis. Demikian juga dengan Rasulullah yang amat sayang sekali kepadanya kerana imannya yang tidak berbelah bagi kepada baginda. Suatu hari ia telah datang mengadu pada Rasulullah dalam keadaan sayu katanya “ wahai Rasulullah ! Aku sebenarnya tidak sakit, tetapi hatiku merasa sedih sekali jika tidak dapat bertemu denganmu dan bila dah bertemu hatiku merasa amat gembira sekali” .
“Bila mengingatkan akhirat hatiku bertambah cemas lagi kerana memikirkan kalau-kalau aku tidak dapat berjumpa denganmu buat selama-lamanya. Ini kerana kedudukanmu yang tinggi di sisi Allah s.w.t. serta disamping sekalian para nabi-nabi. Manakala aku sekiranya ditakdirkan masuk syurga sekalipun, pastinya tempat aku adalah di tempat yang paling bawah sekali, dan bagaimana pula nasibku jika tidak dimasukkan ke Syurga langsung, sudah tentu aku tidak akan dapat bertemu dengamu”.
Rasulullah mendengar ratapan dan rintihan Tsauban dengan penuh perasaan sayu tetapi baginda sendiri tidak dapat berbuat apa-apa kerana soal akhirat adalah urusan Allah. Setelah itu turunlah wahyu kepada Rasulullah antara maksudnya, “Barang siapa yang taat kepada Allah serta RasulNya maka mereka itu nanti akan berserta dengan orang-orang yang diberi nikmat oleh Allah iaitu berserta dengan para nabi, orang yang mati syahid, orang yang soleh dan orang yang sebaik-baik teman.” Mendengarkan sahyu ini Tsauban menjadi gembira semula.