ZAHIRNYA KAYA TETAPI MISKIN BATIN
Dalam suatu situasi sedang Rasulullah berada dalam majlis ilmu bersama dengan para sahabatnya tiba-tiba datang seorang fakir miskin dengan berpakaian yang bercompang-camping. Pakaian yang bertampung disana sini sudah menggambarkan akan kesempitan hidupnya selama ini. Kehadirannya adalah semata-mata kerana ingin mendengarkan syarahan serta menimba ilmu pelajaran dari rasulullah. Setelah mendapati ada satu ruang kosong, si miskin ini pun duduk. Kebetulan bersebelahan dengannya ada seorang yang kaya dan berpakaian bersih lagi kelihatan cantik.
Tiba-tiba si kaya ini mengangkatkan pakaiannya lalu beredar dari situ. Semua tingkah laku ini telah diperhatikan oleh Rasulullah. "Adakah engkau bimbang kefakirannya berjangkit kepadamu?" Tanya Rasulullah pada si kaya. "Tidak, ya Rasulullah", jawab si kaya. "Ataupun engkau bimbang kekayaanmu berpindah kepadanya?", "Tidak, ya rasulullah". "Ataupun engkau khuatir pakaianmu akan kotor keranya?", "Tidak, ya Rasullah". Si kaya ini tiada jawapan untuk diberikan pada Rasulullah.
Setelah menyedari akan kesombongannya itu yang telah menyakiti saudara seagamanya, berkatalah si kaya, "Ya Rasulullah, aku bertaubat kepada Allah dan juga RasulNy, izinkanlah aku memberikan sebahagian dari hartaku kepada sahabat ini sebagai penebus dosaku". Lalu segera dijawab oleh si miskin. "Aku tidak akan menerima harta darinya ya Rasulullah, aku bimbang jika aku juga akan terkena penyakit sepertinya pada suatu hari nanti".