SIAPA TAHU AJAL SENDIRI?

Suatu hari Khalifah Umar b. Al-Khattab r.a. menerima pengaduan dari anaknya mengenai pakaian yang dipakai olehnya.  Katanya, "Wahai Ayahanda" saya sering disindir oleh rakan-rakan kerana memakai pakaian yang bercompang-caming lagi buruk.  Nama saja kamu ini anak seorang pembesar negara tetapi pakaian mengalahkan seorang fakir miskin, kata mereka kepada saya".  Umar mendengar pengaduan anaknya itu dengan penuh perasaan belas kasihan tetapi apakan daya kerana dia sendiri di waktu itu tidak memiliki wang.  Jumlah gaji yang diterimanya dari Baitul Mal adalah terlalu kecil, hanya mencukupi untuk belanja makan harian saja.

Kerana terpaksa beliau berusaha meminjamnya dari Baitul Mal dan berjanji akan membayar kembali setelah menerima gaji pada hujung bulan.  Kata pegawai Baitul Mal, "Bukan saya tidak mau memberikan pinjaman kepada Amirul Mukmin, tapi yakinkah Khalifah akan hidup sampai hujung bulan ini, dan jika ditakdirkan khalifah meninggal lebih awal, siapakah yang akan membayar hutnag ini?".  Mendengar jawapan ini maka menangislah Umar dan dibatalkan niatnya untuk membuat pinjaman itu lalu berjalan pulang dengan perasaan hiba.